Pengenalan Sistem Rangkaian
Rangkaian komputer bermaksud sambungan dua atau lebih perkakasan komputer yang terpisah secara fizikal tetapi disambungkan secara operasinya. Rangkaian juga merupakan satu sistem perkongsian alat (pencetak dan CD-Rom), perisian, pertukaran maklumat dan komunikasi. Maklumat dapat dipindahkan dalam rangkaian melalui kabel, gelombang radio, pancar infra merah atau satelit.
Jenis Sistem Rangkaian Komputer
Jenis-jenis rangkaian ditakrifkan mengikut lingkungan geografi dan juga jarak skema rangkaian tersebut.
Terdapat tiga jenis rangkaian komputer yang asas iaitu :
1. Rangkaian Kawasan Setempat (Local Area Network - LAN)
2. Rangkaian Kawasan Metropolitan (Metropolitan Area Network - MAN)
3. Rangkaian Kawasan Luas (Wide Area Network - WAN)
| Bil | Sistem Rangkaian Komputer | Saiz Kawasan | Contoh |
| 1. | Local Area Network (LAN) | Kawasan Kecil (10km) | Sekolah, makmal, dalam sebuah bangunan |
| 2. | Metropolitan Area Network (MAN) | Kawasan lebih besar (10-50km) | Bandar, negeri |
| 3. | Wide Area Network (WAN) | Kawasan sangat besar (lebih daripada 50km) | Seluruh dunia, negara, Internet |
Rangkaian Kawasan Setempat (LAN)
Dikenali juga sebagai Local Area Network. Rangkaian jenis LAN ini biasanya terhad kepada batasan geografi yang kecil misalnya rangkaian yang meliputi sesebuah bangunan, sekolah, pejabat atau kampus. Fungsi asas LAN sebagai satu rangkaian yang menghubungkan sebilangan komputer di dalam kawasan yang terhad seperti di dalam kampus universiti, di dalam sesebuah bangunan dan di dalam bilik serta kerapkali dihubungkan dengan komputer kerangka utama atau minikomputer. Namun begitu, jarang sekali rangkaian LAN meliputi kawasan yang lebih daripada satu batu jaraknya.Komputer-komputer ini dapat dihubungkan dengan pelbagai kaedah seperti kabel pasangan terpiuh atau berpintal, gentian optik, talian telefon dan cahaya inframerah serta isyarat radio.
Topologi yang biasa digunakan dalam rangkaian ini ialah :
1. Topologi Bas atau Linear Bas
2. Topologi Bintang (Star)
3. Topologi Gelang Token (Token Ring)
Rangkaian Kawasan Metropolitan (MAN)
Rangkaian Kawasan Metropolitan (Metropolitan Area Network-MAN) lazimnya meliputi suatu kawasan geografi yang agak luas berbanding dengan rangkaian yang diliputi oleh LAN. Rangkaian MAN biasanya beroperasi di bandar-bandar, gabungan beberapa buah sekolah ataupun di sesebuah daerah. Dengan menjalankan suatu rangkaian perhubungan yang sederhana besarnya di dalam lingkungan susun atur geografi yang besar, informasi dan maklumat dapat disebarkan dengan meluas, cepat dan berkesan.
Rangkain Kawasan Luas (WAN)
Rangkaian Kawasan Luas (Wide Area Network – WAN) menghubungkan suatu kawasan yang lebih luas dari segi geografinya, contohnya menghubungkan Florida, Amerika Syarikat dengan dunia.
Rangkaian Kawasan Luas yang tipikal memgabungkan dua atau lebih Rangkaian Kawasan Setempat dan biasanya melibatkan suatu kawsan geografi yang luas. Contohnya, satu syarikat yang mempunyai ibu pejabat di suatu tempat, kilang di suatu tempat yang lain dan gabungan pemasaran di suatu kawasan yang agak jauh dari kedua-dua kawasan tersebut.
Kebaikan menggunakan Rangkaian
1. Berkongsi Fail
- Pengguna dapat berkongsi fail yang disimpan pada pelayan (server) atau komputer pusat
2. Memindahkan Fail
- Memudahkan pemindahan fail yang disimpan dari satu komputer ke komputer yang lain
3. Berkongsi Perisian (Application) dan mengurangkan kos
- Memudahkan pengguna untuk berkongsi program aplikasi seperti Word, Lotus, Access dll. Dengan ini ia dapat mengurangkan kos dan memudahkan instalasi perisian
4. Berkongsi data dan menjimatkan masa untuk memasukkan data
- Data-data dapat dimasukkan serentak oleh dua atau lebih pengguna kedalam satu aplikasi
- Pengguna yang lain dapat menggunakan data -data tersebut pada masa yang sama
5. Berkongsi Pencetak, Pengimbas, CD-Rom dan lain-lain
- Pencetak atau CD-Rom yang terdapat pada sesebuah komputer dapat digunakan oleh semua pengguna yang menggunakan komputer lain
6. Menggunakan Email
- Pengguna dapat menghatar memo dari satu komputer ke komputer yang lain
